Selamat datang...ke blog yang dibangunkan khas untuk berkongsi minat, pengetahuan dan pengalaman bagaimana belajar berenang sendiri tanpa guru dan dapat menguasai skill dengan berkesan. Ikutilah pengalaman saya seterusnya...anda juga pasti boleh melakukannya.

Tuesday 3 July 2012

Kursus Asas Kayak Bintang 1

Tempat: Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Ayer Keroh Melaka
Tarikh : 15/6 - 17/6/2012 (Jumaat-Ahad)
Sempena Karnival Kecergasan 1 Malaysia 2012 Peringkat Negeri Melaka

   Banner besar kursus kayak yang digantung ditepi tasik Ayer Keroh berhampiran Pusat Reakrasi Air REDTMA gambar kecil pemandangan Kompleks JBS dari luar.

PENGENALAN
    Kursus ini bertujuan memberi latihan kepada peserta tentang cara mengendalikan kayak dengan lebih terperinci dan dapat mengaplikasikan kaedah dalam latihan. Selain dari itu kursus ini juga memberi pendedahan peserta kepada sukan rekreasi air.

OBJEKTIF
1. Melahirkan penggerak dan penggiat kayak yang berkualiti di seluruh negara.
2. Melatih penggerak dan penggiat kayak agar lebih mahir.
3. Melahirkan atlet sukan kayak yang berbakat dan berpotensi untuk diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi.

slideshow photo2 semasa kursus dijalankan

MUKKADIMAH PENULIS
   Menyertai kursus Asas Kayak Bintang 1 merupakan satu pengalaman baru dalam hidup saya apatah lagi saya tak pernah langsung menyentuh kayak sebelum ini cuma sekadar melihat dari jauh orang berdayung kayak di tasik2 atau di sungai2.

   Keinginan belajar berkayak bermula bila melihat kebolehan dan kemahiran dalam kayak dapat menambahkan lagi bidang penguasaan di air samada untuk tujuan riadah dan reakrasi ataupun bagi tujuan menyelamat di air menggunakan kayak.

   Saya sangat teruja melihat kebolehan dan kemahiran peserta pertandingan mengawal dan mengemudi kayak melalui laluan berintangan dalam acara Kayak Slalom semasa sambutan hari belia di Putrajaya bulan April yang lalu. Pada waktu itu saya bertugas sebagai lifeguard dapat melihat acara tersebut dari jarak dekat semasa pertandingan itu dijalankan.
  
   Bagi tujuan menyertai kursus ini saya mengambil cuti tahunan pada 15hb.Jun 2012 yang lepas dan bertolak dari Bangi ke Ayer Keroh sebelah tengahari. Lapuran yang berikutnya  adalah aktiviti penuh yang saya lakukan di sepanjang 3 hari kursus dijalankan.

PENDAFTARAN KURSUS
15/6/2012 (Jumaat) / 3ptg - 4ptg / Depan Dewan Besar
    Kursus anjuran Jabatan Belia dan Sukan Melaka yang serentak dijalankan pada waktu sama adalah :-
1. Asas Kayak Bintang 1
2. Mendaki Tembok Tiruan
3. Asas Mountain Bike
4. Klinik Asas Go Kart
5. Klinik Mini Bike

    Yuran kursus adalah percuma hanya RM10 untuk bayaran Sijil Kehadiran dan Sijil Kayak Bintang Satu. Nota Teori Asas Kayak juga diberi kepada setiap peserta. Makanan, minuman dan penginapan sepanjang kursus juga disediakan secara percuma oleh pihak JBS Melaka.

    Jadual Keseluruhan Kursus (klik)

suasana depan dewan besar tempat pendaftaran kursus-kursus anjuran JBS. Masa ni masing-masing belum mengenali antara satu sama.Kelihatan dalam gambar Norazlin (Penghulu Wanita)

    Kursus Kayak Bintang 1 di sertai oleh 41 orang peserta dari pelbagai peringkat umur, terdiri dari pelajar sekolah, penuntut kolej & Universiti dan juga individu yg telah bekerja samada dari Jabatan kerajaan mahupun swasta.

sebahagian daripada 41 orang peserta kursus kayak sedang berkumpul sebelum sesi perlantikan AJK

    Oleh kerana kursus yang dianjurkan kali ini serentak dijalankan dalam satu masa maka asrama (Dom) telah penuh dan keutamaan diberi kepada peserta kursus kalangan adik2 yang masih bersekolah.

    Semua peserta kursus Kayak diberi satu khemah yang boleh memuatkan seramai 5 orang untuk tempat menukar pakain dan tidur. Khemah peserta lelaki telah dibina di dalam kawasan berbumbung futsal manakala khemah wanita dibina berhampiran padang volleyball sebelah kami.
peserta kursus kayak bekerjasama mendirikan khemah penginapan.Otai2 KUIS pasang khemah macam lipas kudung, tau2 dah tegak terpacak.

TAKLIMAT KURSUS
Jumaat / 5.00pm-5.30pm / Dewan Besar
    Taklimat mengenai kursus telah disampaikan oleh jurulatih berpengalam bidang kayak iaitu Pak Hassan dan juga En. Hassan wakil daripada REDTMA memberi sepatah dua kata kepada semua peserta berkenaan kursus ini. kemudian semua peserta telah dibekalkan dengan bahan nota dan fail kursus oleh urusetia program.
Pak Hassan (kiri) memberi nasihat dan panduan sementara En.Hassan (REDTMA) mengalu-alukan kehadiran peserta kursus dalam sesi taklimat dalam dewan besar.

PERLANTIKAN AJK & KETUA KUMPULAN
Jumaat / 6.00pm-6.30pm / Depan Asrama Lelaki
    Sesi pengenalan antara 4 orang jurulatih dan 40 orang peserta kursus diikuti oleh perlantikan AJK dan Ketua2 kumpulan di kalangan peserta bagi tujuan kemudahan komunikasi dan pengurusan perjalanan kursus supaya lebih lancar dan mengikut jadual.

Pembahagian peserta kepada 4 kumpulan dengan seorang ketua setiap kumpulan bertanggung jawab terhadap ahli masing-masing.

Lantikan mengikut cadangan dan sokongan sebulat suara :-
1) Penghulu - Sazali
2) Penghulu wanita - Nur Azlin
3) AJK Keselamatan - Mohd Osni
4) AJK Disiplin - Syazwan
5) AJK Surau - Mohd. Shamsul
6) Ketua Kump.1 - Muhd.Syafiq
7) Ketua Kump.2 - Nur Adha
8) Ketua Kump.3 - Mohd Khairos
9) Ketua Kump.4 - Acap

    Selesai perlantikan AJK kursus, saya telah menyampaikan ucapan selaku Penghulu meminta semua peserta memberi kerjasama dan mematuhi  peraturan yang telah digariskan oleh pihak penganjur (JBS & REDTMA) agar kursus ini berjalan dengan lancar dan selamat hingga ke akhir  kursus nanti. Sekiranya ada sebarang kesulitan dan kecemasan yang dihadapi oleh para peserta, AJK yang dilantik bersedia untuk membantu mereka.

KELAS TEORI ASAS KAYAK
Jumaat / 9.00pm-10.30pm / Dewan Kuliah Satu / Pensyarah : En. Mohd Saiful Jamil wakil MASCA
En. Saiful sedang menunjukkan cara yang betul memegang dan mendayung paddle kayak

    Kursus dimulakan secara rasminya dengan mengikuti kelas Teori Asas kayak. Antara isi kandungan teori yang dipelajari adalah :-
1. Sejarah Perkembangan Aktiviti Kayak
   -Pengenalan Awam
   -Definasi Kenu dan Kayak
   -Perbezaan Antara Kayak dan Kenu
2. Sejarah Perkembangan Kayak
3. Sejarah Perkembangan Kayak Dunia
4. Perkembangan Kayak di Malaysia
5. Peralatan Kayak
   -Bagaimana memilih kayak yang sesuai
   -Anatomi Kayak
   -Anatomi Pendayung
   -Peralatan Aktiviti Berkayak
6. Jenis-Jenis Kayak
   -Mandesta (Bentuk V)
   -Ottersport (Bentuk U)
   -Slalom (Bentuk O)
7. Pengendalian Kayak
   Membawa Kayak
    -Pikul di bahu
    -Kelekan di pinggang
    -Menggunakan kenderaan
8. Melancar dan Mendaratkan Kayak
    -Melancar
    -Mendarat
    -Melancar dan mendarat di Sungai dan Tasik
9. Naik dan Turun Kayak
    -Naik kayak
    -Turun Kayak
10. Berdayung
     -Cara Memegang Dayung/Berdayung
11. Jenis-Jenis Dayungan dan Teknik Berdayung
     -Dayungan Kehadapan (Forward Stroke)
     -Dayungan Kebelakang (Backward Stroke)
     -Dayungan Sapuan (Sweep Stroke)
     -Dayungan Sisi (Draw Stroke)
     -Gabungan Dayungan Sapuan 180 darjah (Alternate Combination 180 deg)

Nota: En.Mohd. Saiful bin Jamil merupakan salah seorang pemain kayak kategori freestyle wakil Malaysia ke kejohanan kayak antarabangsa antaranya di Australia dan Jerman. Beliau juga merupakan salah seorang jurulatih bertauliah MASCA selain bermain mewakili negeri Johor di peringkat kejohanan kebangsaan.

LATIHAN PRAKTIKAL KAYAK
16/6/2012 (Sabtu) / 9pg-12.30tgh / Tasik Ayer Keroh
     Latihan secara praktikal yang kami lakukan pada hari kedua kursus dengan jurulatih terdiri dari En. Saiful, Pak Hassan, Uncle Sam On dan Uncle Zahari kami diajar perkara2 yang berikut :-

En. Saiful memberi taklimat kepada semua peserta diikuti stretching beramai-ramai mengikut peserta yang membuat satu formasi stretching di tengah bulatan.

1. Stretching bersama-sama dalam satu bulatan besar dengan setiap peserta bergilir-gilir keluar menunjukkan satu kaedah untuk diikuti beramai-ramai.
2. Stretching menggunakan paddle kayak beramai2 dengan En. Saiful menunjukkan kaedah yang betul.
3. Water Confident - beramai-ramai masuk ke dalam air dengan PFD (vest) sambil berenang dan mengapungkan diri.
4. Demo cara memegang paddle dan stroke yang betul oleh Cikgu Saiful
5. Latihan berkayak menggunakan kayak jenis Sit on top (2 seat)
6. Latihan Cara masuk dan keluar kayak yang betul
7. Latihan berkayak beramai-ramai mengelilingi tasik sehingga ke kawasan berhampiran Zoo Melaka
8. Membuat formasi raffting sambil pendayung bertukar2 posisi antara satu kayak ke kayak lain
9. Melakukan Capsized (kayak terbalik) dan cara naik kembali ke atas kayak untuk 2 orang pendayung

Antara photo-photo semasa latihan amali kayak dijalankan. Kelihatan dalam gambar Pak Hassan dan Uncle Sam On.

    Pertama kali mendayung kayak di tasik ini membuat perasaan risau dan susah terus hilang berganti dengan rasa seronok dan teruja mungkin kerana anggapan sebelum ini berkayak memerlukan kemahiran tinggi dan latihan yang lama.

    Sebenarnya tidak, ianya amat mudah dan senang untuk dipelajari walaupun seumur hidup saya tak pernah naik kayak langsung. Bak kata pepatah kalau tak dipecah ruyung manakan dapat sagu-nya. Kalau kita tidak mencuba dahulu mana tahu susah atau senangnya berkayak.

    Semasa sesi latihan praktikal saya berganding dalam satu kayak dengan saudara Md. Yusri. Memang menyeronokkan dapat mengelongsor di atas air sambil merasa hembusan air tasik Ayer Keroh yang nyaman dan segar.

    Kemudian lebih kurang pukul 12.30tgh - 2.30ptg sesi latihan berhenti rehat untuk makan tengahari dan bersolat.
sesi praktikal dipandu oleh En. Saiful dengan dibantu oleh jurulatih yang lain. Berkayak dan membuat formasi rafting berhampiran Zoo Melaka.

2.30ptg-6.30ptg :
    Sesi sebelah petang peserta diperkenalkan dengan kayak jenis single seat yang lebih sukar sedikit untuk dikawal pergerakkannya.Kayak jenis ini juga yang akan digunakan semasa Ujian praktikal nanti.

1. Menggunakan kayak singel seat yang lebih sukar terutamanya orang baru seperti saya.
2. Melakukan Capsized dan menarik kayak ke tepi tasik secara tow
3. Membuang air dari dalam kayak secara sendiri dan juga berpasangan

5.00ptg-7.00ptg :
    Ujian Amali bahagian 1 - khas untuk peserta yang akan pulang awal telah diadakan bagi 7 orang dengan Pemeriksanya adalah En.Saiful sendiri. Saya menggunakan kesempatan ini untuk melihat secara dekat sambil belajar dan memahami bagaimana ujian praktikal dijalankan.

7 orang peserta yang mengambil peperiksaan awal bergambar bersama-sama semua jurulatih di tepi tasik. Jenis kayak single seat atau Slalom digunakan untuk ujian praktikal


7.30mlm-9.00mlm :
    Solat Maghrib di surau kompleks dan mendengar ceramah Israk & Mikraj yang disampaikan oleh seorang penceramah jemputan.

9.00mlm-11.30mlm :
    Konsert Muzikal Dakwah di dataran Rekreasi Ayer Keroh antara artis yang datang adalah Iwan dangdut yang menyampaikan lagu2 berunsur dakwah dan nasihat.

UJIAN TEORI KAYAK
Sabtu / 11.45mlm-12.45mlm / Dewan Kuliah 1

    Ujian Teori di adakan di dewan kuliah yang mana sepatutnya diadakan pukul 9.00mlm tetapi ditunda ke 11.45mlm kerana bertindih dengan konsert Muzikal Dakwah. Agak ganjil juga masa ujian ini dijalankan di tengah malam (11.45mlm) namun yang demikian semua peserta dapat menduduki ujian selama 1 jam dan tamat pukul 12.45mlm.

 semua peserta sedang khusyuk menjawab soalan ujian teori Asas Kayak Bintang 1

    Selesai mengambil ujian semua peserta merasa lega dan kurang tekanan di mana pada keesokan harinya satu lagi ujian praktikal perlu dilalui sebelum tamat kursus. Semua peserta balik ke khemah masing-masing untuk tidur.

UJIAN PRAKTIKAL KAYAK
Ahad / 9pg-11.30pg / Tasik REDTMA

    Bagi mempercepatkan waktu Ujian Praktikal dijalankan, Semua peserta kursus dibahagikan kepada 4 kumpulan dengan 4 orang Pemeriksa iaitu :

Pemeriksa 1 - En. Saiful
Pemeriksa 2 - Pak Hassan
Pemeriksa 3 - Uncle Sam On
Pemeriksa 4 - Uncle Zahari

peserta kursus sedang melakukan ujian praktikal mengikut arahan dari pemeriksa/jurulatih

-Ujian Praktikal yang telah dilakukan oleh setiap peserta mengikut disiplin yang berikut :-
1. Mengangkat Kayak Kelekan di pinggan
2. Masuk ke dalam kayak
3. Teknik duduk yang betul
4. Teknik keluar dari kayak
5. Mendayung ke hadapan menuju sasaran 30 - 50 meter
6. Berhenti
7. Dayungan mengundur ke sasaran 10 - 15 meter
8. Dayungan sapuan dari hadapan 180 darjah
9. Dayungan sapuan dari belakang 180 darjah
10.Gabungan dayungan sapuan 360 darjah
11.Dayungan sisi (draw stroke) Paddle keluar dari air
12.Kawalan imbangan (Slap for Support, low Recovery)
13.Terbalik dan berenang menunda kayak ke darat
14.Membuang air dari dalam kayak secara berpasangan

Masa yang di ambil untuk melakukan semua gerak kerja di atas lebih kurang 30 hingga 45 min seorang.

Skema pemarkahan Ujian Teori dan Praktikal adalah seperti berikut :
1. Markah lulus ujian Teori            18/30
2. Markah lulus ujian Praktikal       42/70
3. Markah lulus keseluruhan          70/100

MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL
Ahad / 3.00ptg / Tasik REDTMA

menerima sijil dari tetamu terhormat. Riang ria tamat kursus dengan sijil masing2

    Acara penyampaian sijil untuk semua kursus-kursus di bawah Jabatan Belia dan Sukan Melaka.
Saya sebagai Penghulu (Ketua) mewakili semua peserta telah naik ke pentas mengambil Sijil Penyertaan kursus Kayak Star 1 yang dikeluarkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Melaka.

TAMAT KURSUS DAN BERSURAI
Ahad / 4.30ptg / Asrama

    Alhamdulillah tamat sudah kursus 3hari 2malam, seorang demi seorang peserta kursus meninggalkan khemah untuk pulang ke destinasi masing2 dengan perasaan yang gembira dapat berkenalan dan menjalin hubungan silaturrahim antara peserta.

    Di samping rasa seronok dan berpuas hati menghadiri kursus singkat ini rasa kelesuan tetap ada , oleh yang demikian selepas mandi dan bertukar pakaian saya tidur dan berehat sebentar sebelum pulang ke rumah di Bangi.

GROUP FACEBOOK : KAYAK STAR 1
    Pada 19/6/2012 Group Kayak Star 1 telah ditubuhkan dalam Facebook atas keperihatinan dan kesungguhan dari peserta kursus yang ingin hubungan antara mereka terus di kekalkan walaupun setelah tamat kursus tersebut.

Tujuan :-
1) Meneruskan kesinambungan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli yang telah menyertai Kursus Asas Kayak Bintang Satu dari 15hb-17hb Jun 2012 bertempat di Tasik REDTMA Ayer Keroh Melaka.

2) Bertukar2 fikiran dan berkongsi pengalaman dalam aktiviti reakrasi dan outdoor di kalangan ahlinya.

3) Menarik lebih ramai golongan remaja,belia dan dewasa supaya berminat dan turut serta di dalam aktiviti2 yang akan dianjurkan oleh Group ini selari dengan Wawasan Belia Negara.
rujukan : https://www.facebook.com/groups/321735671241628/

KEPUTUSAN RASMI KURSUS ASAS KAYAK BINTANG 1
    Alhamdullilah keputusan rasmi ujian telah diumumkan oleh En Saiful pada 29 Jun lepas di mana keputusannya adalah seramai 36/37 orang peserta (97.3%) telah lulus dan hanya seorang yang gagal.

    Tahniah kepada semua yang telah berjaya dan yang kurang berjaya, jangan putus asa dan cuba lagi pada sesi akan datamg, tentu ada suatu hikmah di sebaliknya.

    Setinggi2 penghargaan dan terimakasih diucapkan kepada En Mohd Saiful, Pak Hassan,Uncle Sam On, Uncle Zahari dan pihak REDTMA di atas kesungguhan dan sumbangan tenaga mereka kepada kami demi kesinambungan dan pembangunan sukan kayak khususnya dan pembangunan belia amnya. Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah.

PENGALAMAN SEBAGAI PENGHULU KURSUS
    Semasa mengikuti kursus ini saya telah diberi tangung jawab menjadi Penghulu (Ketua AJK). Saya terima pencalonan dan jawatan ini dengan hati yang terbuka dan cuba menjalankan tanggung jawab yang diberi sebaik yang mungkin.


    Sememangnya di tempat kerja tugas saya adalah menguruskan jurutera dan juruteknik namun dalam kursus ini suasananya amat berbeza sekali memandangkan kumpulan peserta ini adalah unik dari segi peringkat umur seawal usia 16 tahun hinggalah senior yang berusia 54 tahun ditambah lagi sebilangan peserta wanita juga perlu diuruskan.

    Di sini juga saya mendapat pengalaman berharga bagaimana untuk berkomunikasi dan menguruskan adik-adik remaja dengan merasa tidur sekhemah, makan semeja, berlatih bersama, bergurau senda dan bermesyuarah  seolah-olah saya menjadi remaja semula walaupun sebenarnya saya dah termasuk dalam kategori otai. Sebenarnya apa yang saya pelajari dari adik-adik remaja ini juga berguna kepada diri sendiri sebagai bapa untuk memahami jiwa dan kerenah anak remaja saya.

    Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dengan bantuan semua AJK dan 4 orang ketua kumpulan yang dilantik. Mereka semua telah menjalankan tugas masing-masing dengan cekap dan sempurna sehinggalah ke akhir kursus dijalankan. Saya amat berbangga dapat bekerja dengan adik-adik dan anak muda yang amat berdedikasi dan berdisiplin dalam menjalankan amanah masing-masing.

    Sekalung tahniah kepada mereka semua, semoga satu hari nanti mereka akan menjadi pemimpin negara yang bertaqwa dan berdedikasi kepada agama, bangsa dan negara..

KESIMPULAN
1.  Bersyukur kehadrat Allah dan terimakasih kepada Aquaputra, REDTMA dan Jabatan Belia dan Sukan Melaka yang telah  memberi peluang menyertai kursus Asas Kayak Bintang 1.

2.  Ingin melebarkan pengetahuan dan kemahiran asas berkayak kepada anak-anak dan keluarga di samping meningkat kemahiran sendiri ke peringkat lebih tinggi. Kemudian berkongsi kemahiran ini dengan rakan2 yang baru ataupun rakan yang lebih berpengalaman lagi.

3.  Meneruskan hubungan silaturrahim dengan rakan satu kursus serta membina jambatan baru dengan kelab atau persatuan kayak setempat untuk mendapat pendedahan dan pengalaman yang lebih luas di dalam aktiviti berkayak.

4.  Berazam mempelajari skill menyelamat menggunakan kayak untuk melengkapkan kemahiran menyelamat di air yang sedia ada.

5.  Pengalaman berharga dapat berhubung dan memahami jiwa remaja dan mendapat kepercayaan mereka sebagai seorang ketua walaupun terdapat jurang usia yang jauh berbeza.

6.  Sangat berbangga mendapat jurulatih-jurulatih yang sangat berhemah, berdedikasi dan bertanggung jawab memberi ilmu dan mencurah pengalaman mereka tanpa mengira penat dan lelah demi memartabatkan sukan kayak. Semoga usaha mereka semua mendapat keredhaan dan keberkatan Allah dan mereka diberi kesihatan untuk terus mencurah bakti kepada anak bangsa dan negara.

jurulatih-jurulatih kayak En. Saiful, Pak Hassan dan Uncle Sam On 
" Majulah Sukan Kayak Untuk Negara " 

~ Penghulu Kursus Asas Kayak Bintang 1 sesi 15-17/6/2012 ~

6 comments:

  1. wah best :)
    terima kasih penghulu
    cantik blog

    ReplyDelete
  2. salam sejahtera.
    Kursus Asas kayak ada lagi tak ? Saya bercadang nak bawa kawan2 ambil kursus kayak. Terima kasih

    ReplyDelete
  3. Macam mana nak buat penganjuran kursus asas kayak. Berapa harga penyertaan

    ReplyDelete