Selamat datang...ke blog yang dibangunkan khas untuk berkongsi minat, pengetahuan dan pengalaman bagaimana belajar berenang sendiri tanpa guru dan dapat menguasai skill dengan berkesan. Ikutilah pengalaman saya seterusnya...anda juga pasti boleh melakukannya.

Friday 3 February 2012

Kenapa Lambat Sangat Pandai Berenang ?

Bagi sesetengah orang dianugerah Tuhan kelebihan untuk memahami, mempelajari dan menguasai sesuatu ilmu dengan cepat dan berkesan manakala sesetengah yang lain begitu lambat dan "liat" untuk belajar.

Peribahasa Melayu ada mengatakan "Rambut sama hitam hati lain-lain", "Setandan kelapa ada yang komeng (tak ada isi)" menunjukkan kita semua dijadikan Tuhan tidak sama antara satu sama lain walaupun adik-beradik.

Sebahagian dari kita belajar berenang dengan menghadiri kelas bimbingan jurulatih manakala yang lainnya belajar sendiri (DIY) seperti saya. Perbezaannya adalah tempoh masa untuk pandai berenang berbeza-beza antara satu sama lain bergantung kepada beberapa faktor.

Melalui pengalaman dan pengamatan saya adalah seperti berikut :-

A) FAKTOR SIKAP

1) Rasa Terpaksa
-Niat belajar Kerana desakan orang lain (Tiada keinginan sendiri)
-Ubah niat kita lakukan kerana Allah, untuk kebaikan dan kesihatan diri, untuk waktu kecemasan dan sebagainya supaya psikologi kita bersedia dan menerima ilmu dengan semangat yang baru.

2) Cemburu nak pandai macam orang lain tapi tidak rajin berusaha
-Ubah kepada Kepandaian orang lain boleh menjadi motivasi dan semangat untuk kita berusaha lebih dan menjadi lebih baik dari mereka.

3) Nak menunjuk pada orang lain kononya kita selalu betul dan lebih pandai
-Ubah kepada menghargai pandangan dan cadangan orang lain, mungkin ada kebaikan dan kebenaran yang boleh dikongsi bersama.
-Satu lagi sikap yang baik ialah sentiasa merendah diri walaupun kita orang yang berilmu dan berkemahiran tinggi sebagaimana tuntutan Nabi kita.

4) Rasa dah pandai dengan skill berenang kampung, tak mahu terima cara berenang lain (yang betul)
-Ubah untuk menerima kenyataan bahawa ada cara berenang yang lebih selamat dan mudah dipelajari pada masa kini.

5) Kurang hormat dan memandang rendah keupayaan guru renang ketika belajar
-Adab antara murid dan guru ketika menuntut ilmu, murid mesti menghormati guru dan guru mesti redha menurunkan ilmu, baru ilmu itu berkat dan mudah dipelajari.

6) Tidak mahu berfikir sendiri dan mencari masaalah sebenar kenapa lambat belajar berenang
-Guru renang bukanlah seorang yang sempurna, bukan semua masaalah dapat diselesaikan segera dan mungkin memerlukan masa.
-Sekiranya anda dapat membantu mereka dengan berfikir dan bertanya diri sendiri apakah masaalah sebenar anda, mungkin ini dapat membantu menyelesaikan masaalah dan menpercepatkan pembelajaran anda.

7) Tidak fokus semasa guru mengajar
-Tidak meletakkan pemikiran di tempat belajar (berfikir hal2 lain dan dsb).
-Seelok-eloknya lupakan sebentar hal2 lain apabila anda belajar kerana ianya boleh menganggu penumpuan dan kefahaman anda.
-Sekiranya ada keraguan atau kekeliruan jangan malu bertanya (kerana anda berhak)

8) Tidak berterima kasih kepada guru bila selesai belajar
-Mengucapkan terimakasih adalah satu tanda kesyukuran dan budaya yang baik diamalkan antara murid dan guru.
-Dengan hubungan yang baik antara murid dan guru, tidak mustahil banyak ilmu yang guru akan ajarkan kepada anda tanpa diminta.

9) Tiada keinginan untuk berusaha lebih dan berdikari selain dari pelajaran kelas
-Rasa sudah cukup dan berpuas hati asalkan boleh berenang menjadikan seseorang itu hanya tahu asas tetapi tidak mahir sepenuhnya.
-Sepatutnya elok menyambung kelas peringkat yang lebih tinggi ataupun berlatih sendiri dengan lebih gigih sehingga kita betul2 cekap dan mahir dalam sesuatu teknik (Freestyle/Breaststroke/Butterfly/Backstroke).

10) Tidak berusaha menambah ilmu dengan membaca atau mencari ilmu pengetahuan
-Rajin membaca akan menambah pengetahuan yang mungkin dapat menyelesaikan masaalah yang kita hadapi.
-Sekarang banyak maklumat dan tips-tips renang mudah diperolehi dari Internet secara percuma seperti video dari Youtube dan penulisan2 dari jurulatih dan athlete renang profesional dalam blog mereka.

11) Cepat putus asa bila tak berjaya lakukan sesuatu perkara
-Jangan rasa putus-asa sekali gagal, cuba buang daripada kotak pemikiran kita perkataan putus asa, "give-up", bosan dan sebagainya kerana sesuatu kejayaan itu tidak datang dari kecemerlangan sahaja tapi dibina di atas kegagalan.
-Jangan hadkan sesuatu masa untuk anda pandai berenang kerana yang demikian mendatangkan stress pada diri anda. -Belajarlah dengan gembira dan hati yang terbuka walaupun mengambil masa yang lama.

B) FAKTOR PERASAAN

1) Fobia atau takut bila masuk dalam air
-Mungkin disebabkan kejadian lampau seperti pernah lemas, atau kehilangan orang tersayang kerana air dan sebagainya.
-Satu sesi terapi untuk menghilangkan perasaan tersebut amat perlu sebelum memulakan latihan renang sebenar dan mungkin memerlukan masa yang agak panjang.

2) Cepat kelam-kabut dan panik dalam banyak perkara
-Boleh dikata datangnya dari pembentukan peribadi sendiri sejak kecil ataupun dari suasana keluarga sendiri.
-Selalunya tindakan mendahului pemikiran atau tak berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu perkara itu.
-Diri sendiri mesti mengakui tabiat ini tidak elok diteruskan dan berazam untuk mengubahnya.
-Meletakkan azam "sesungguhnya aku ingin berubah menjadi lebih tenang dan sabar" dan "Ingin mencapai target yang telah aku tetapkan"

3) Tidak percaya akan dapat terapung dalam air
-Mindset pertama perlu dibuang dari otak supaya tidak menjadi halangan untuk pandai berenang.
-Tidak dapat melakukan apungan untuk peringkat awal adalah biasa memangpun kita bukan dilahirkan dalam air, secara logiknya kalau tidak belajar dan berusaha kejayaan tidak datang bergolek sendiri.
-Kena simpan dalam mindset kita bahawa air akan menjadi kawan karib kita bukan yang akan melemaskan kita.
-Apabila otak telah diprogram berfikir demikian maka tubuh kita akan bersedia untuk menerima "kawan baru" dan mudah untuk kita melepaskan badan kepada air sebagai "rakan kongsi".

C) FAKTOR FIZIKAL

1) Badan kaku dan "keras" ketika berada dalam air
-Percayalah semua ini adalah sesuatu yang normal apabila kita "berkawan" dengan air.
-Anda mempunyai kawalan terhadap tubuh badan anda, sekiranya anda berfikir negatif terhadap air maka tubuh anda juga akan menjadi negatif.
-Kata lain ialah badan menjadi stress sebagai mempertahankan diri dari "musuh" air.
-Masalah ini juga lebih kepada mindset yang perlu diubah supaya tubuh badan kita boleh dikawal menjadi lembut atau "kawan" kepada air.

2) Cepat sesak nafas dan semput
-Samada anda memang mempunyai sejarah lelah(asthma) atau masalah jantung.
-Mungkin lebih baik dapatkan nasihat dari pakar perubatan dahulu sebelum anda berfikir untuk meneruskan minat berenang.
-Sekiranya berlaku sesuatu semasa latihan renang, jurulatih yang akan dipertanggung-jawabkan di atas kemudaratan yang anda hadapi.
-Sebenarnya dari pengalaman kebanyakkan orang yang menghidapi masalah lelah, dengan melakukan aktiviti renang yang sederhana akan membantu pemulihan penyakit tersebut tetapi dalam jangka waktu yang panjang bukan tiba-tiba saja sembuh apabila anda mula berenang.
-Bagaimana? kerana bila kita berenang semua anggota luaran dan dalaman akan bekerja dengan aktif.
-Paru-paru dan jantung akan bekerja lebih apabila kita berenang untuk menyalurkan udara dan darah ke segenap bahagian tubuh badan.
-Badan kita akan membakar lemak menjadi tenaga semasa kita berenang.
-Apabila process ini berterusan, fizikal kita akan mula berubah menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Mudah untuk memperkatakan tentang sesuatu masalah tetapi amat sukar untuk mengatasinya.
Hanya kekuatan mental dan keimanan yang dapat melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Bak kata pepatah Melayu "Sikit-sikit Lama-lama Jadi Bukit" biarlah kita belajar sedikit dari guru renang tetapi selebihnya datang dari usaha gigih kita sendiri, barulah kita boleh berbangga dengan pencapaian kita nanti.

dipetik dari penulisan saya di:
https://www.facebook.com/note.php?note_id=353094718043434

No comments:

Post a Comment