Wednesday 14 December 2011

Latihan Renang di Port Dickson bersama Officemate

Port Dickson awal Disember 2011, saya berenang di laut beberapa kali seorang diri dalam jarak renang lebih kurang 1km.

Pada tahun ini air pantai begitu tenang, jernih, pasang waktu pagi dan surut tengahari, jadi saya ambil sedikit  masa berenang di waktu pagi dan lewat petang.

Sesi kali ini saya memberi penerangan kepada officemate yang juga "Geng Renang" tempat kerja yang tubuhkan lebih kurang 6 bulan lalu bagaimana teknik berenang di laut berbeza dengan kolam renang.

1) Laut tiada garisan lurus sebagai rujukan
Paling ketara perbezaannya adalah lautan tiada garisan untuk memandu arah lurus ketika berenang.
Tanpa teknik berenang yang betul anda mungkin akan berpusing-pusing ditempat yang sama tanpa disedari.

2) Pening dilambung ombak
Seperkara lagi adalah ombak kecil dan besar yang akan menjadi rintangan ketika berenang menjadikan kita rasa pening lalat bila dilambung ombak tersebut lebih-lebih lagi di kawasan pinggir pantai. Hanya latihan renang di laut yang kerap sahaja yang dapat menghilangkan rasa pening tersebut.

3) Dasar laut yang kelam dan gelap
Apa yang dapat di lihat di dasar air laut adalah pasir, lumpur ataupun batu karang yang terbentang luas.

Pemandangan biasa dilihat dalam kolam renang seperti batu mamar putih yang cantik bertukar menjadi pemandangan kelam dan gelap di dasar laut. Secara psikologi hati anda akan bertukar menjadi "kecut" dan silap hari boleh menjadi panik.

Bagaimana untuk melatih pemikiran kita agar dapat menerima semua yang kelam dan gelap itu menjadi sesuatu yang positif dan diterima otak kita dengan tenang. Jawapannya tidak lain dari latihan dan manipulasi pemikiran supaya sentiasa berfikir positif.

Satu lagi cara yang saya amalkan adalah berzikir dalam hati semasa berenang kerana ianya dapat menenangkan jiwa dan perasaan kita dari berfikir perkara yang bukan-bukan, tambahan lagi hanya Allah sahaja tempat kita bergantung dan meminta pertolongan.

4) Mudah terapung di permukaan laut
Satu kelebihan berenang di lautan adalah badan kita mudah terapung tanpa perlu bersusah payah mengerakkan kaki dan tangan membuat kuakan air seperti di dalam kolam walau bagaimanapun cara apungan yang betul elok dilatih dari kolam dahulu untuk lebih berkesan ketika di laut.

5) Manfaat latihan renang di kolam
Latihan renang di kolam dapat dilakukan sebagai rutin untuk membina ketahanan fizikal dan stamina di samping mendapatkan teknik stroke yang tepat dan berkesan.

Apabila kita berenang di laut, skill dan stamina yang kita bina di kolam akan membantu secara langsung berhadapan dengan pelbagai cabaran di lautan.


Latihan renang bersama Hakim dan Fahmi (anak)

6) Latihan pendek tapi berkesan
Kami mempraktikkan kaedah berenang lurus ke arah sesuatu tempat yang hendak dituju berpandukan rujukan kepada objek sekeliling yang dapat dilihat seperti pokok-pokok, kapal ataupun apa-apa yang berdiri tetap di pantai dapat dilihat semasa berenang.

Pada masa yang sama juga kami mempraktikkan kaedah apungan yang mudah secara menegak ataupun menelentang kerana kelebihan air laut yang lebih tumpat dari jisim badan akan sentiasa memudahkan kita terapung walaupun dengan sedikit usaha gerakkan kaki dan tangan.

Kesimpulannya,
..dek kerana keadaan laut tenang tanpa ombak besar, sesi renang kali ini kurang thrill dan mencabar walau bagaimanapun tetap menyeronokkan.

Keterangan lanjut dan video latihan renang di laut boleh di ikuti di sini  http://www.filesonic.com/file/1844439111/Openwater_swimming_tips.avi

Monday 12 December 2011

Keadaan Cuaca Semenanjung Malaysia

Adalah tidak merugikan sekiranya kita membuat sedikit penyelidikan dan mendapatkan informasi yang tepat berkenaan cuaca sesuatu destinasi yang ingin ditujui pada tarikh yang dirancang supaya nikmat dan keseronokan bercuti tidak terbantut disebabkan perubahan cuaca sesuatu tempat.

Musim Tengkujuh (Angin Monsun Timur Laut)
Tempoh   : Awal November hingga Mac
Keadaan :
 i) Pantai Barat - Tiada kesan
 ii)Pantai Timur - Hujan Lebat, Angin Kencang dan banjir di Kelantan Trengganu dan Pahang
    - Laut bergelora (tidak sesuai untuk aktiviti perikanan dan pesisir pantai)

Angin Monsun Timur Laut bertiup ke arah Pantai Timur Semenanjung Malaysia

Angin Sumatera
Tempoh   : April hingga Mei
Keadaan  :
  i) Pantai Barat - hujan lebat, disertai kilat, guruh dan ribut yang mencapai kelajuan sehingga 80 km/jam (Pelabuhan Klang hingga pantai barat Johor)
  ii) Pantai Timur - Tiada kesan

Musim Barat (Angin Monsun Barat Daya)
Tempoh   : Mei hingga September
Keadaan :
 i) Pantai Barat - Kurang Hujan
 ii)Pantai Timur - Tiada kesan
Angin Monsun Barat Daya bertiup ke arah Pantai Barat Semenanjung Malaysia, kesan angin kurang dirasa disebabkan halangan Pulau Sumatera Indonesia.

Suhu Permukaan Laut Selat Melaka
Januari - Februari secara amnya sejuk(28.0°C)
April – Julai Paling panas (31.0°C).
Bulan-bulan lain adalah sederhana

Suhu Permukaan Laut Pantai Timur
April – Mei  paling panas melebihi 30°C
Sept – Okt  29°C
Nov - Mac (Musim Tengkujuh) 27–28°C

Musim Hujan
i)  Kawasan pantai barat semenanjung dan sekitar Selat Melaka :-
hujan maksimum dua kali setahun iaitu pada pada Oktober-November dan April-Mei,

ii) Kawasan pantai timur mengalami musim hujan pada bulan November-Mac.

Corak Pergerakan Angin Bulanan
Jan hingga Mac

April hingga September

Oktober hingga Disember

Maklumat di atas diperolehi dari rujukan http://seafdec.org.my/seafdecv4/images/pdf/buku_mfrdmd/Buku%20Keadaan%20Laut.pdf

Wednesday 7 December 2011

Jawapan kepada Saudara Hadhri

Soalan Saudara Hadhri...

Saya sedang belajar berenang.saya mempunyai masalah iaitu bahu saya agak keras menurut jurulatih saya. saya juga telah melakukan senaman yang disarankan iaitu menyelam dan bangun semula namun tetap tidak berjaya.ada cara lain yang tuan boleh kongsikan dengan saya?


Jawapan dan pandangan saya..

Sebenarnya saya sendiripun tidak pernah terfikir masalah bahu keras atau lembut semasa berenang.
Bagi saya amat mudah sekiranya saudara dapat menghubungkan apakah kesan dari keadaan tersebut pada gerakan renang saudara. Adakah ?

1. Pegerakan renang perlahan atau
2. Badan sentiasa tenggelam atau
3. Cepat menjadi penat dalam jarak renang yang pendek ataupun
4. Tiada apa-apa kesan pada keadaan renang.

Dari segi teorinya keadaan badan yang stress ataupun keras akan menyebabkan bahagian tersebut mudah tenggelam dan kurang lancar bergerak dan mungkin menyebabkan stroke tidak seimbangan atau janggal.

Satu kaedah yang saya pelajari dari Guru Total Immersion, Terry Laughlin melalui video beliau yang boleh dimuat turun disini http://www.filesonic.com/file/1716936194/Latihan_Renang_Gaya_Bebas.mp4 sekiranya saudara belum mempunyai video tersebut.

Latihan berdiri statik di tepi kolam dengan membuat stroke tangan dalam air (Freestyle) dalam keadaan badan membongkok sambil tangan mencedok dan mengayun ke belakang mungkin dapat membantu saudara merasai kelembutan ataupun kekerasan bahu apabila selalu dilakukan.

Satu kaedah saya amalkan adalah memberi diri sendiri masa untuk mahir dan bukan meletakkan satu tempoh tertentu untuk mencapai sesuatu tahap kerana yang penting adalah kita enjoy berenang dan beterusan. InsyaAllah dengan kesabaran dan kesungguhan saudara menjalani latihan renang samada bersama jurulatih ataupun  secara bersendirian, saudara akan memperolehi apapun yang dihajati satu masa nanti.

Wassalam dan selamat berjaya..

Meredah Ombak Pantai Air Papan Mersing Johor

Pada 4 dan 5 hb. Disember lepas saya berkesempatan berenang di pinggir  pantai Air Papan, Teluk Godek, Mersing Johor. Memang amat mengujakan bila dapat mengharungi ombak besar berenang ke tengah lautan luas seorang diri sambil diperhatikan anak-anak yang bermain di gigi pantai.

Papan tanda simpang masuk ke pantai Air Papan dari Jalan Mersing - Kuantan
Atas : Pemandangan kiri dan kanan kawasan pantai
Bawah : Anak dan anak saudara bermain ombak di gigi air

Lokasi pantai ini lebih kurang 11km dari bandar Mersing, yang mana kebetulan dalam hari yang sama saya menghadiri majlis perkahwinan anak saudara di Kg. Tenglu yang jaraknya cuma 6.5km dari pantai.

Pada bulan Oktober hingga Mac keadaan laut Cina Selatan bergelora menyebabkan ombak besar dan air laut lebih keroh dari biasa iaitu biru, jernih dan tenang. Walau keadaan cuaca pada masa itu kurang sesuai untuk berenang saya tetap meredahnya untuk merasakan cabaran yang tidak dapat diperolehi dari kolam renang awam.

Hari pertama - Air pasang petang dengan ombak besar setinggi lebih kurang 2m

Saya berenang lebih kurang 1/2 jam di pinggir pantai dari pukul 6.00ptg hingga 6.30ptg. Memang sangat-sangat thrill dan enjoy habis dilambung ombak dan menyusur ombak.


Hari kedua - Air agak tenang dengan ombak kecil setinggi 1m

Hari yang kedua di pantai Air Papan saya menghabiskan masa berenang dari pukul 10pagi hingga 12 tengahari dalam keadaan cuaca yang redup dan nyaman...taklah kulit sunburn

SubhanAllah begitu indah dan damainya suasana percutian saya dan keluarga pada kali ini.

Satu perkara yang menarik minat saya adalah adanya menara Penyelamat Pantai JPA dengan kakitangan yang berkhemah dan terlatih sentiasa meronda dan memerhati keadaan keselamatan pengunjung pantai.
Kiri - Menara Kawalan di tepi pantai
Kanan - Pejabat pentadbiran JPA di belakang menara

Kemudahan awam seperti tandas dan bilik mandi ada disediakan dengan bayaran RM1. Caj untuk parking sekali masuk kawasan ini adalah RM4 sepanjang minggu..mungkin agak mahal juga.

Kiri - Gerai menjual cenderahati 
Kanan - Gerai makan
Kesimpulannya,
Amat berpuas hati dan kami sekeluarga seronok berada di Pantai Air Papan, sekiranya di izinkan Allah mungkin lepas ni menyeberang ke Pulau Tioman yang terletak 2km perjalanan dari jeti Mersing melalui perkhidmatan bot.